Thursday 11 September 2014

SEJARAH DAN LATAR BELAKANG MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA



       POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH

SEMESTER 1 SESI JUN 2014

PENGAJIAN MALAYSIA (DUB 1012)

TAJUK:SEJARAH DAN LATAR BELAKANG KEWUJUDAN MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA

NAMA PENSYARAH: PUAN MASITAH BINTI MOHD ALI
JABATAN: KEJURUTERAAN MEKANIKAL
NAMA PELAJAR: 
                                  1. SHARAD BHAVAN A/L SOMASUNDARAM (08DKM14F1090)
                                  2. AHMAD SHUKRI BIN GHANI (08DKM14F1078)                 
                                  3.AKRAM BIN AMERI (08DKM14F1070)

PROGRAM: DIPLOMA KEJURUTERAAN MEKANIKAL
KELAS: DKM1B


SEJARAH KEWUJUDAN MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA





      

      Tanah  Melayu yang merupakan sebuah tempat tumpuan pengembaraan, pelayaran dan pusat perdagangan tentunya pernah menjadi satu tempat persinggahan dan penempatan bagi orang-orang daripada pelbagai kebudayaan dan asal usul.Justeru konsep percampuran populasi bukanlah merupakan satu fenomena baru dan asing di Malaysia. Kebanyakan ahli sejarah dan antropologi sosial  bersetuju bahawa struktur susunan ras etnik dan corak penempatan penduduk masa kini telah ditentukan pada zaman perkembangan kolonial dan eksploitasi orang British di Semenanjung Malaysia. Dalam tahun 1786 hingga 1914 merupakan zaman paling penting dalam menentukan pola-pola etnik, ekonomi dan politik masa kini di Semenanjung Malaysia.

     Aspek demografi merupakan perkara yang penting dalam mencorakkan kemajmukan masyarakat Malaysia. Aspek demografi tidak hanya memperlihatkan betapa uniknya masyarakat Malaysia dari segi komposisi etnik tetapi turut mewarnai wajah sosiobudaya, demografi politik dan proses politik di Malaysia.


         Campur tangan Inggeris di Tanah Melayu bermula apabila Francis Light menduduki Pulau Pinang pada Ogos 1786, menyebabkan kemasukkan migran secara besar-besaran daripada luar. Dalam jangka masa yang panjang semasa pemerintahan kolonial British di Malaysia iaitu selama lebih satu ratus lima puluh tahun bermula 1786 hingga 1957. Antara tahun itu, Malaysia telah diduduki oleh Jepun semasa perang dunia kedua. Walau bagaimanapun, jangka masa singkat itu dianggap tidak mempunyai signifikan yang besar kepada komposisi dan mobiliti penduduk. Masyarakat homogenis Melayu Tanah Melayu telah mengalami transformasi kepada masyarakat heterogenios Malaysia yang mengandungi etnik-etnik Melayu, Cina dan India sebagai komponen utamanya.

        Sebelum abad ke-18, penduduk di Tanah Melayu dan kepulauan borneo ketika itu didominasi oleh orang Asli, orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. Migrasi daripada luar juga berlaku tetapi jumlahnya terhad. Selain itu, terdapat juga kaum pendatang daripada Sumatera, IndonesiaTetapi tidak menjejaskan corak masyarakat ketika itu kerana kaum pendatang ini adalah daripada rumpun bangsa yang sama (James P. Ongkili, 1985:4).

Pada awal abad ke-18, perubahan dalam struktur masyarakat berlaku di Malaysia disebabkan oleh fenomena migrasi dari luar yang berlaku akibat faktor penarik yang ada di bumi mahupun faktor penolak di negara asal masing-masing yang bertanggungjawab mencernakan perubahan yang berkekalan sehingga ke hari ini. Struktur masyarakat di Malaysia berubah adalah disebabkan migrasi daripada luar dan juga faktor penolak dan penarik. Migrasi ini berlaku sedikit demi sedikit sebelum penjajahan barat, tetapi berleluasa setelah penjajahan berlaku. Aktiviti ekonomi dan perladangan menjadi faktor utama dalam aktiviti migrasi daripada luar terutamanya daripada China dan India.

          Hal ini kerana, masyarakat Cina daripada negara China sebenarnya ingin keluar daripada hidup penuh dengan kemiskinan dan penderitaan. Oleh itu, mereka terpaksa keluar berhijrah sehingga ke Tanah Melayu. Kemasukan buruh-buruh Cina ke Tanah Melayu melalui beberapa cara yang dikenalpasti diusahakan oleh orang Cina sendiri yang telah menetap lama di Tanah Melayu. Bilangan buruh Cina yang berhijrah memang ramai dan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Namun angka yang tepat sukar ditentukan kerana ketiadaan dokumen yang sah dan kemasukan secara haram ke Tanah Melayu.

Kemasukan masyarakat Cina ke Tanah Melayu menunjukkan bermulanya proses pembentukan masyarakat majmuk daripada pengaruh masyarakat Cina yang semakin bertambah. Pengaruh masyarakat Cina ke Tanah Melayu telah mengubah corak dan sistem sosial Alam Melayu dan juga masyarakat Melayu ketika itu. Kedatangan masyarakat Melayu ke Tanah Melayu akhirnya telah membentuk satu masyarakat baru iaitu Baba Nyonya dan Cina Muslim. Wujudnya golongan baru ini membawa kepelbagaian atau kemajmukkan masyarakat di Malaysia dan mengambarkan keunikannya pada pandangan masyarakat luar.

            Migran kedua terbesar selepas China adalah kelompok daripada India. Kebanyakan mereka berasal daripada India Selatan iaitu dari Negapatam dan Madras. India juga mengalami masalahnya tersendiri yang menyebabkan penduduknya berhijrah ke luar. Suasana di negara itu yang dilanda kemiskinan dan kebuluran yang mendorong penduduknya berhijrah keluar ke  negara-negara lain termasuk ke Tanah Melayu ketika itu. Migran India datang sejak pembukaan Pulau Pinang oleh Inggeris. Pada waktu itu bilangan mereka masih kecil dan bertambah setelah Inggeris berjaya benguasai negeri-negeri Melayu.

Selain migran daripada negara China dan India, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga menjadi tumpuan daripada masyarakat luar seperti dari Indonesia dan Ceylon. Namun, bilangan mereka jauh lebih rendah berbanding dengan buruh daripada China dan India. Kebanyakan pendatang Indonesia berasal daripada Jawa, Kalimantan (Banjarmasin), Celebes, Timor dan Sulawesi serta beberapa bahagain kepulauan yang berhampiran dengan Selat Melaka.. Pendatang daripada Indonesia juga berbilang suku kaum dan etnik antaranya orang Jawa, Bugis, Minang dan Banjar. Pendatang dari Ceylon kebanyakannya terdiri daripada kaum Sinhalese. Mereka datang dari kawasan pantai selatan negara tersebut. Mereka datang dengan jumlah yang agak ramai selepas abad ke-19 berterusan hingga abad ke-20an. Kedatangan berterusan ini disebabkan penjajahan British di Ceylon. Faktor ekomoni adalah bukan faktor utama penghijrahan mereka, sebaliknya mereka ingin mencari rezeki yang lebih berbanding apa yang mereka dapat di negara asal mereka. Setelah kemasukan migran daripada luar, bermulalah proses pembentukan masyarakat majmuk yang berbilang kaum seperti sekarang. Proses pembentukan masyarakat pada mulanya sukar kerana berbeza fahaman, amalan, ras dan etnik serta kehidupan seharian. Banyak konflik yang berlaku dalam proses pembentukan ini seperti peristiwa 13 mei 1969. Apabila konflik berlaku dalam masyarakat majmuk, konflik berkenaan mengikut garisan pemisah ras, bukan garisan kelas. Pengambilan pekerja buruh daripada luar di buat secara tetap sudah pasti akan menimbulkan masalah sosio-ekonomi dan politik yang lebih membimbangkan dan bagi mengelak pembentukan masyarakat majmuk pelbagai etnik atau heterogeneous seperti mana yang cuba dielak oleh negara-negara Eropah Barat dan Telok.

           Setelah kemasukan migran dari luar akhirnya lahirnya kelompok dari keturunan Cina dan India yang berasimilasi dengan budaya tempatan seperti kelompok Baba-Nyonya yang berketurunan Cina dan kelompok Chitty yang berketurunan India. Asimilasi bangsa juga turut berlaku apabila perkahwinan antara orang asing dengan penduduk tempatan, maka wujud beberapa sub-kategori penduduk berdarah campuran seperti kelompok Peranakan, kelompok Syed dan lain-lain. Kini kebanyakan penduduk Malaysia mempunyai darah kacukan Melayu-Arab, Melayu-India, Melayu-Cina dan lain-lain.

Hari ini, kaum Melayu, kumpulan etnik terbesar di Malaysia iaitu merangkumi lebih 50 peratus penduduk negara ini. Di Malaysia, jika merujuk kepada orang Melayu menunjukkan orang itu beragama Islam dan mengamalkan kebudayaan Melayu, berbahasa Melayu dan mempunyai keturunan Melayu. Orang Melayu terkenal kerana peramah dan budaya seni mereka yang sangat kaya.

Kaum Cina pula adalah kumpulan etnik kedua terbesar, yang mana kaum Cina merangkumi 25 peratus populasi. Kebanyakan keturunan kaum Cina hari ini berasal daripada pendatang ke negara ini pada kurun ke-19.Mereka terkenal kerana kuat bekerja dan pandai berniaga. Tiga kumpulan kecil kaum ini yang berbicara dialek Cina berbeza adalah Hokkien yang tinggal di utara Pulau Pinang, Kantonis yang tinggal di Kuala Lumpur dan juga kumpulan bertutur bahasa Mandarin yang tinggal di kawasan selatan tanah air di Johor.

           Kumpulan etnik terkecil antara tiga kumpulan etnik utama di negara ini, kaum India merangkumi 10 peratus populasi. Kebanyakan berasal daripada pendatang dari Selatan India yang  berbahasa Tamil, yang datang ke Malaysia sewaktu zaman penjajahan British dahulu. Mereka datang ke sini untuk mencari kehidupan yang lebih baik, luar daripada sistem kasta yang diamalkan di India.Kebanyakan beragama Hindu, mereka turut membawa budaya mereka yang unik serta pembinaan kuil, makanan pedas dan pakaian sari yang mewah.





No comments:

Post a Comment